Bedtime Stories...

sudut illustrasi cerpen..

:::::: CELIK TAPI BUTA ::::

Deruman hujan kedengaran di luar jendela.. "Hurmm.. patut la panas je petang tadi.." bentak hati kecil Que. Entah kenapa, hatinya bagai terbawa-bawa hari ini untuk mengimbas kembali lubang hitam dalam hidupnya. Putaran kipas siling yang ligat bagaikan helikopter di tenung sekian lama. Sejuk, tetapi punggungnya bagai dipaku di dasar sofa di ruang tamu rumah. 

Renungan tajam ke pinggir tasik yang jauh kelihatan dari balkoni rumah, membuatkan dia separuh sedar antara masa silam dan sekarang. Tanggal 11 March 1996, cukup umurnya 12 tahun. Larian anak-anak jiran di sekitar rumah menjadikan kawasan rumah teres yang disewa bapanya riuh rendah dengan hilai tawa mereka. Que bergegas mencapai basikalnya yang disandarkan di dinding rumah terus dikayuh dengan laju. "Aku dah lambat nih.. mesti depa dah tunggu kat padang", hati kecilnya berkata. Kayuhan pedal basikalnya bertambah laju. Makcik Normah yang juga ibu kepada rakannya Paan, terkebil-kebil melihat gelagat Que. Berlainan dengan Que, Paan seorang yang lebih seronok dengan komik-komik kartun idolanya seperti X-men, Doraemon dan Dragon Ball Z. setiap keluaran pasti dibelinya. Selain itu, kegilaannya terhadap kumpulan KRU ketika itu, begitu mendalam sehinggakan dia menggelarkan dirinya anggota ke-4 kumpulan itu...

Hurm,, kembali kepada Que.. Hasil daripada kayuhannya yang tidak ubah seperti Rossi itu, padang bola yang ditujunya hanya beberapa meter di hadapan. Dari jauh, kelihatan sekumpulan manusia pelbagai umur yang berada dalam linkungan gelaran remaja sedang berkumpul. Semakin dekat, semakin kedengaran riuh rendah perbincangan mereka. Sepantas kilat, Que melompat dan mencampakkan basikalnya ke tepi deretan basikal lain. Tidak di hirau langsung keadaan satu-satunya kenderaannya itu. Que cepat-cepat merangkak di bawah ruang-ruang kosong di antara rakan-rakannya. 

"Awat hang lambat?? orang dah nak start br nak nampak batang hidung", herdik Syahril sambil mengedarkan jersi bewarna biru kepada rakan-rakan lain. "aku tertidoq tadi. Sori la geng", jawab Que meminta maaf. Sebenarnya, petang ini telah diatur satu perlawanan bolasepak persahabatan di antara pasukan Bayan Baru dan Mayang Pasir. Pasukan perumahan kawasan Bayan Baru yang dianggotai oleh beberapa pemain remaja merupakan salah satu pasukan bolasepak yang digeruni di kalangan remaja-remaja sekitar kawasan Bayan Lepas ketika itu. Dengan berbekalkan Syahril sebagai kapten pasukan, pasukan ini turut terkenal kerana sering kali mencabar pasukan-pasukan kejiranan yang lain untuk beradu kehebatan bermain bolasepak. Jika umur sebagai ukuran, Que merupakan pemain yang paling cilik diserap ke dalam pasukan. Susuk tubuhnya yang seakan-akan remaja belasan tahun, menjadikan dia antara "key player" untuk pasukan tersebut. Que yang hanya berumur 12 tahun, mampu bermain dengan baik biarpun bermain dengan pemain-pemain yang jauh lebih tua darinya. Syahril adalah rakan baiknya ketika itu. Biarpun perbezaan jarak mereka berdua lebih kurang 3 tahun, Que mampu bergaul mesra dengan syahril dan rakan-rakan. Ini secara tidak langsung menjadikan Que lebih matang dibandingkan remaja seusianya.

"Cepat 'warm up'!! pakai baju tuh!" jerit Syahril. Que bingkas bangun dan terus menyarung jersi diberikan Syahril. Sesudah tamatnya perlawanan, Que terus pulang ke rumah. Dia yang seakan-akan dirasuk pelesit terus mencapai tuala dan berlari ke bilik air. Ibunya Fatimah, sudah biasa dengan tingkah laku anak sulungnya itu. Sudah menjadi kebiasaan, Que akan ke Surau untuk bersolat jemaah pada waktu Maghrib bersama rakan-rakannya. Surau adalah salah satu tempat berkumpul bagi Que dan rakan-rakan. Ia seolah-olah markas bagi mereka. Apa saja akan dibincangkan mereka di surau. Untuk pengetahuan pembaca, surau terletak di sebelah padang bolasepak dan juga berhampiran dengan deretan kedai-kedai runcit di kawasan perumahan tersebut. Medan selera juga,hanya beberapa langkah sahaja dari surau. Ini menjadikan, surau lah tempat mereka bermain, mengaji, belajar fardhu ain setiap minggu dan kadang-kala tempat mereka bergurau senda. Ketika ini, komputer dan internet masih di tahap pembikinan lagi. Jadi anak-anak kecil lebih cenderung intuk keluar bermain sesama rakan serta banyak meluangkan masa diluar berbanding di rumah.

Dari segi pembelajaran, Que boleh dikategorikan antara pelajar yang cemerlang di sekolahnya. Dia juga merupakan olahragawan sekolah yang telah berjaya memecahkan beberapa rekod sekolahnya. Selain itu, para guru juga sering berpuas hati dengan kelakuan dan keperibadian yang ditunjukkan oleh Que. Ketika menduduki UPSR, Que dicalonkan sebagai antara calon yang bakal peroleh keputusan cemerlang di dalam peperiksaan. Semuanya seolah-olah baik untuk diri Que. Dia disegani,sering menjadi tumpuan dan sentiasa dicemburui oleh rakan-rakan sekolah yang lain kerana pencapaiannya..

Pada suatu hari, Selepas peperiksaan UPSR tamat, sesi persekolahan berlangsung seperti biasa. Sekolah telah mengadakan keramaian untuk meraikan para pelajar dann juga guru-guru. banyak aktiviti telah diadakan seperti sukan, pertandingan bercerita, karaoke, Quiz, dan macam-macam lagi. Que yang ketika itu selaku pemain bolasepak sekolah, telah dijadualkan untuk berlawan bola sepak dengan para guru. Ketika perlawanan, Que terjatuh dan menyebabkan dia tersungkur dan lututnya mengalami kecederaan. Seperti biasa, seperti anank-anak muda yang lain, semangat kesukanannya meronta-ronta untuk terus bermain tanpa menghiraukan kesakitan yang di alami. Setibanya di rumah, dia merebahkan badan nya di sofa sambil mengurut-urut lututnya..." Adoi... sakitnya... sengal-sengal pulak lutut aku nie", bisik Que di dalam hati. Que tiba-tiba teringat, bagaimana dia hendak berlatih petang ini bersama Syahril.. Perlawanan persahabatan minggu ini, pasukannya harus menang. Ini adalah untuk menebus kembali kekalahan mereka dengan pasukan Mayang Pasir dahulu. Pada perlawanan yang lepas, pasukan Que telah tewas tipis 2-1 dengan pasukan Mayang Pasir. Ini menjadikan dia harus melupakan kesakitan yang di alaminya buat masa ini. Keghairahannya terhadap permainan bolasepak mengatasi kesakitan lututnya itu.

Pada petang tersebut, ketika latihan sedang berjalan, Que di lihat bersendirian berlatih sambil menimbang bola dengan kakinya di penjuru padang. Tiba-tiba kedengaran "Prakkk!!!, arh....!!!", Que serta merta jatuh sambil memeluk rapat lutut kanannya. Rakan-rakan lain terus berlari sepantas kilat ke arah Que. Syahril yang ketika itu sedang memakai kasut bola, melemparkan sebelah kasutnya dan berlari pecut kearah Que. "Hang pasai apa Que? Jangan dok buat lawak pulak!", jerit Syahril. Syahril yang sebenarnya risau akan keadaan rakan baiknya itu tidak dapat menyembunyikan rasa risaunya terhadap Que. "Lutut aku....sakit sangat..." jawab Que lemah. Adnan, salah seorang rakan Que terpinga-pinga menuju ke arah Que. Dia yang berbadan besar selalu dijadikan bahan ejekan kanak-kanak disitu. Akan tetapi, Que sering menjadi orang yang melindunginya dari ejekan tersebut. Adnan juga tinggal hanya selang dua rumah dari rumah Que. "Cepat-cepat angkat Que..", kata salah seorang dari rakan-rakannya. "Oii nan, hang cepat mai tolong Que nie!" herdik Syahril terhadap Adnan. Adnan yang masih berjalan,terus berlari-lari anak sambil memegang sebelah kasut. "Yang hang dok pegang kasut aku tu buat apa, cepat pegang Que nie!",tambah Syahril lagi. "Aku pening la..tiba-tiba ja kasut hang nie melayang kena kepala aku" jawab Adnan sambil megusap-ngusap dahinya. Rupa-rupanya, kasut bola Syahril yang dilemparkan seketika tadi tepat mengenai dahi Adnan. Peningnya bukan kepalang. "Patut la dari tadi terhegeh-hegeh.. Cepatlah!!", bentak Syahril. Mereka mengangkat Que dan terus membawanya berehat di Surau. Syahril dan rakan-rakan yang lain cuba untuk mengurut-urut lutut Que. Akan tetapi, tidak juga elok keadaan Que. " Aku rasa baik kita bawak dia balik", ujar Paan tiba-tiba bersuara. " Aku pun rasa macam tu la", celah Adnan.

Mereka beramai-ramai mengusung Que pulang ke rumahnya. Setibanya di rumah, mereka meletakkan Que di atas katil. Dengan nada lemah Que bersuara, " Geng, hangpa jangan bagitau mak n ayah aku naa". " Kalau depa tau, mesti depa tak bagi aku main bola lagi", tambah Que lagi. Rakan-rakannya berjanji untuk merahsiakan perkara tersebut dari pengetahuan ibu bapa Que. Sesudah kesakitan Que beransur reda, rakan-rakannya pun bergegas pulang ke rumah masing-masing. Ibu bapa Que masing-masing bekerja. Ketika itu, ibunya bekerja sebagai executive hal ehwal kemanusiaan di Kilang Seagate. Ayahnya pula, menjadi Executive Jualan di salah sebuah syarikat di Air Itam. Kedua-dua mereka merupakan graduan Universiti dari luar negara. Pertemuan mereka di Missouri,Amerika Syarikat membawa mereka ke jinjang pelamin. Que dilahirkan ketika ibu dan bapanya masih lagi bergelar pelajar di sana. Sekembalinya mereka ke tanah air pada tahun 1985, menyebabkan mereka sukar mencari pekerjaan yang seiring dengan apa yang mereka pelajari. Ramai graduan-graduan menganggur disebabkan kemelesetan ekonomi yang teruk. Ini menyebabkan ibu dan ayah Que, menyambar apa shaja pekerjaan yang boleh mendatang kan wang bagi menyara Que ketika itu. Pada waktu ini, Kedua-dua ibubapanya sibuk membina platform tersendiri untuk mengukuhkan ekonomi rumahtangga mereka. Jadi, mereka berdua sibuk bekerja setiap hari. Walaupun begitu, mereka tidak pernah lupa kebajikan mereka terhadap Que. Makan dan pakai Que semuanya dijaga. Dari segi keagamaan, Que dihantar mengaji dan belajar Fardhu Ain di surau. Cuma yang kurang, Que merasakan hidupnya tidak seperti rakan-rakannya yang lain.. yang makan paginya disediakan, makn tengahari sudah tersedia apabila pulang dari sekolah dan juga rakan berbicara ketika runsing. Ya lah, mana kan tidak, ketika itu, ibu dan bapanya keluar mencari nafkah untuk dirinya. Ini menyebabkan Que menjadi seorang yang lebih pendiam ketika dirumah, dah sentiasa berdikari di dalam semua hal. Tidak pernah sekali pun dia merungut dan meminta-minta daripada ibu dan ayahnya.

akan bersambung..tunggu......

No comments:

Post a Comment